ZIKIR HATIKU DAN KAMU

Friday, 19 September 2014

::..I'm proud of you, dear sis..::

Bismillah. S.A.W

Alhamdulillah.

Jarang sekali saya menulis perihal peribadi seseorang..tapi kali ini, hati meronta-ronta mahu mencoretkan sesuatu buat dia. Sebagai penghargaan, juga sebagai pengajaran. Seorang adik, yang berkongsi rahim yang sama. Barangkali, bagi pembaca tidak memberi apa-apa makna. Namun bagi saya, ianya amat menyentuh hati saya. DALAM.

Nor Athirah binti Noraslam. Nama yang biasa didengar, bagaikan tiada apa-apa yang istimewa pada nama itu. Namun, batang tubuh ini pernah melahirkan rasa kagum pada hati saya. Kagum pada ketulusan hatinya, keikhlasan pada kebaikannya.

Adik ini seorang yang sederhana perwatakannya, baik dari paras rupa mahupun pencapaian akademiknya. Namun, sesekali dia mengejutkan keluarga kami dengan pencapaianya. Mungkin biasa-biasa bagi orang lain, tapi tidak bagi kami. LUAR BIASA. Berstatus pelajar biasa, bukan pelajar cemerlang ketika di sekolah rendah, dia mendapat 4A untuk UPSR.

Perjalanan akademiknya diteruskan lagi dengan mendapat 1A dalam PMR. Memang agak sederhana. SPM juga begitu, 1A. Dia menyambung lagi persekolahan dengan menduduki peperiksaan STAM. Mendapat keputusan yang sederhana juga, Jayyid. Bukanlah keputusan yang cemerlang berbanding kakak sulung kami yang mendapat keputusan Mumtaz. Namun begitu, dia juga berhasrat untuk menyambung pelajaran, Menjejakkan kaki ke menara gading seperti dua orang kakaknya.

Borang UPU diisi, doa dan harapan silih berganti. Sementara menunggu keputusan UPU, dia bekerja di sebuah kedai keropok lekor. Agak lumayan pendapatannya bagi seorang anak gadis yang tidak mempunyai apa-apa tanggungan. Namun, tiap kali mendapat gaji hampir semua gajinya digunakan untuk perbelanjaan keluarga sehinggakan ummi ada menyuarakan,"Kadang-kadang ummi pun pelik dengan k.de ni..langsung takde rasa sayang pada duit dia.." Saya tahu. Ummi juga tersentuh dengan kebaikan dia. Tahniah adikku, kerana menggembirakan hati ummi sekaligus menempah redha ummi buatmu.

Keputusan UPU sudah pun keluar, dia tidak berjaya. Sedih hatinya. Dia juga ingin menjadi mahasiswa/i. Namun apakan daya keputusan STAMnya tak menjanjikan tempat pengajian buatnya. Dia hampir putus harapan. Rayuan dibuat mengikut prosedur. 

Saya dan kakak mula merencanakan perjalanan hidup buat dia. Kami juga sudah mula putus harap. Mungkin tidak ada rezeki buat dia. Tidak mengapa, mungkin rezeki dia bukan dalam bidang ini.

Satu hari, kakak call saya. "Anyah, k.de dapat UKM. Kos Bahasa Arab dan Tamadun Islam.". Allah. Rasa syukur dan kagum bercantum menjadi satu. Tidak ada yang mustahil dengan izin Allah.

Dan saya percaya, rezeki ini hadir di atas kebaikannya terhadap keluarga. Saya bagaikan melihat maksud hadis, "Redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa".

Maka bermulalah kehidupan seorang adik di UKM..I'm proud of u. my dear sis. Saya menulis di sini walaupun saya tahu dia takkan membaca tulisan ini dalam masa terdekat. Dia mungkin belum kenal apa itu blog.

Untukmu adikku, anyah doakan semoga Allah mudahkan jalan menuntut ilmu. Berbahagialah kamu menjadi insan pilihan Allah belajar bahasa Al-quran dan bahasa syurga. Semoga berjaya di dunia dan akhirat.

No comments: