ZIKIR HATIKU DAN KAMU

Monday, 27 October 2014

.::Belitan Iblis::.

Bismillah walhamdulillah.

Pernah satu ketika, saya terfikir..."Kuatnya iman asatizah dan alim ulama'..apakah mereka tidak diuji? Kuatnya mereka hadapi ujian itu.."

Fikiran ini mencetuskan rasa cemburu. Cemburu yang amat. Saya merasakan kesusahan untuk menongkah arus deras pasang surut iman. Mereka seakan tidak perlu bersusah payah. Bagaikan iman mereka berada tetap di level yang sama.

Persoalan ini terjawab ketika Allah rezekikan saya menonton rancangan bersama selebriti, TV3, Dr. Muhaya. Kita tahu Dr. Muhaya seorang muslimah berkerjaya yang agak padat rencana hariannya. Saya melihat setiap saat beliau isikan dengan aktiviti berfaedah. Masa lapang, beliau penuhi dengan mendengar bait-bait kata positif. Saya simpulkan di sini, iman akan berdiri teguh apabila kita menutup ruang daripada ianya jatuh.

Masa berlalu. Saya mula lupa apa yang saya pernah tonton. Saya mula merasakan nafas tercungap-cungah dek pergelutan iman kembali. 

Alhamdulillah, Allah rezeki menonton satu siaran ulangan TV1 pada jam 6pagi, itupun jasa Alfateh yang bangun awal pagi. Ustaz Zaharaddin menghuraikan tajuk 'Talbis Iblis' yang bermaksud Belitan Iblis. Diceritakan dalam satu riwayat, betapa iblis mahu menyesatkan manusia, iblis akan mula mengganggu manusia yang sedang berada di dalam majlis ilmu. Apabila tidak berjaya, dia akan mencari majlis yang berdekatan dengan majlis ilmu tadi dan menimbulkan pertelingkahan dalam majlis yang kedua itu. Sehinggakan orang yang berada dalam majlis ilmu terpaksa pergi untuk menyelesaikan pertelingkahan itu. Begitulah dendam iblis laknatullah.

Ustaz diajukan pertanyaan," Bagaimana dengan golongan para ustaz/ah? Adakah mereka tidak diganggu?". Antara amalan yang menjadi benteng kepada gangguan iblis:
1. Surah al-Baqarah.
2. Ayat Kursi.
3. Bismillahillazi la yadhurru...
4. Doa Abu Dzar

Dianalogikan, diri kita seperti berada di dalam satu kawasan yang berpagar. Iblis sentiasa mencari peluang dan ruang yang terbuka untuk masuk ke dalam diri kita. Mana-mana pagar yang mula rapuh, di situ serangan akan dilakukan. Seperti binatang buas yang menanti mangsa untuk dibaham bila-bila masa. Sebagai contoh, seorang ustaz tetapi tanpa sengaja beliau membeli kereta dengan sistem riba. Allahu.

Doa Abu Dzar," Ya Allah aku memohon kepada-Mu iman yang berkekalan, hati yang khusyuk, ilmu yang bermanfaat, keyakinan yang sebenar, agama yang lurus, keselamatan daripada setiap bala bencana, keselamatan sepenuhnya, keselamatan yang berkekalan, anugerah sentiasa bersyukur atas nikmat keselamatan dan memadai dengan apa yang ada daripada mengharapkan bantuan manusia.

Friday, 17 October 2014

::.Sempadan Kasih Ibu.::

Bismillah, hamdan wa syukran ilallah thumma alhamdulillah.

Bergelar seorang ibu pastinya menjadi detik manis buat seorang wanita. Takkan mampu dilupakan rasa sakit tika melahirkan anak. Takkan lupa juga rasa syukur dan gembira tatkala anak dihulurkan cukup sifatnya. Allahu..bagaikan baru semalam Muhammad Alfateh bin Mohd Fickry dilahirkan. Sungguh, bermula Fateh disahkan mendiami rahim sehinggalah Fateh berada di depan mata rasa kasih, sayang, dan cinta bagaikan mengalir tanpa ada surutnya.

Namun, ada satu saat rasa itu bagai terhenti. Terhenti bukan kerana hilang, tetapi dek kerana mengakui hakikat min aina ila aina. Noktah.

Bercerita Ustaz Zul dalam rancangan Jalan Orang Mu'min, TV Alhijrah, "Dalam sebuah kemalangan yang dasyat, kereta berpusing beberapa kali. Suami berlumuran darah di kepala, wajah isteri dipenuhi dengan kaca yang tertusuk. Amat pedih sekali. Ketika bomba cuba untuk mengeluarkan mangsa daripada kereta, kedengaran suara tangisan bayi di bahagian belakang kereta. Isteri yang juga seorang ibu dengan luka yang agak parah mengisyaratkan agar diberi bayi kepadanya. Bayi itu diam apabila disusukan. Namun, tak lama selepas itu bayi tersebut kembali menangis. Susu telah terhenti. Ibunya telah tiada."

Subhanallah! Hebat! Kasih seorang ibu, walau dalam keadaan parah hak si anak tetap cuba dipenuhinya. Tangisan anak lebih utama daripada kesakitan pada batang tubuhnya.

Akan tetapi wahai ibu sekalian, sedarkah kita akan tiba satu hari di mana ibu yang hamil akan keguguran kandungannya, ibu yang sedang menyusukan anak akan melepaskan anaknya, Saat itu hanya DIRINYA dalam fikirannya. Allahu Allah.

Astaghfirullahal'azim.

Ya Allah, jadikanlah permata hati kami sebagai saham akhirat kami. Jangan pula Engkau lalaikan hati kami dengannya ya Allah. Ya Allah, bantulah kami mendidik cinta hati kami agar lebih mengenalimu ya Allah.